LONDON, 19 April- Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya kemenangan besar ke atas Real Madrid dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah bakal meningkatkan daya tarikan kelab itu terhadap pemain sasaran utama dalam jendela perpindahan musim panas ini.
Arsenal mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2009 selepas menewaskan Real Madrid secara agregat 5-1 dan bakal berdepan juara Perancis, Paris Saint-Germain pada 29 April nanti.
Arteta telah lama menyuarakan hasrat untuk mendapatkan penyerang baharu sejak Januari, walaupun penyerang gantian, Mikel Merino mempamerkan prestasi cemerlang.
Arsenal dikaitkan dengan beberapa nama besar seperti Viktor Gyokeres (Sporting Lisbon), Benjamin Sesko (RB Leipzig) dan Nico Williams (Athletic Bilbao).
"Ini mungkin menjadi satu lagi faktor (penarik), tetapi kami sangat bertuah kerana setiap kali bercakap dengan pemain, mereka mahu menjadi sebahagian daripada kelab ini.
Itu mungkin menyemarakkan lagi keyakinan dan keinginan pemain untuk terlibat dalam malam-malam seperti ini kerana kelab kini berada di landasan yang baik. Secara keseluruhannya, kami bersedia, kami kuat dan kami mampu menarik mana-mana pemain,” kata Arteta kepada pemberita.
Dalam perkembangan lain, Arteta turut memberi bayangan bahawa penyerang Kai Havertz mungkin kembali beraksi lebih awal daripada jangkaan selepas mengalami kecederaan hamstring dua bulan lalu.- REUTERS