fb fb fb fb fb

Komen perkauman: Korea Selatan hantar bantahan rasmi ke FIFA

Penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan/Foto REUTERS

SEOUL, 20 Julai-Persatuan Bola sepak Korea Selatan telah mengemukan bantahan secara rasmi ke Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) selepas pemainnya, Hwang Hee-chan berdepan komen berbaur perkauman yang dilakukan pemain kelab itali, Como.

Salah seorang pemain Como yang tidak dikenali telah menuduh dan menyamakan Hwang sebagai "Jackie Chan" iaitu salah seorang bintang filem popular Hong Kong yang dikenali sebagai bintang filem seni mempertahankan diri ketika perlawanan persahabatan pramusim di Sepanyol pada Isnin.

Pada Selasa, pasukan Como menegaskan pemainnya "tidak berkata apa-apa dengan cara yang menghina dan mendakwa reaksi pemain Wolves membuatkan insiden tersebut bertambah hangat.

Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) berkata ia menghantar surat rasmi kepada badan dunia FIFA pada Khamis menyatakan "kebimbangan serius mengenai tindakan perkauman yang dialami oleh Hwang Hee-chan".

Surat itu meminta FIFA mengambil tindakan dan "membasmi perkauman di padang bola sepak", kata persatuan itu di X pada Khamis.

Awal minggu ini Hwang berkata di Instagram bahawa kakitangan kejurulatihan dan rakan sepasukannya berkata mereka akan meninggalkan padang bersamanya "jika perlu" selepas dakwaan perkauman berkenaan.

"Perkauman tidak boleh diterima dalam sukan dan dalam semua aspek kehidupan," tambah Hwang menerusi catatan yang mendapat lebih 143,500 tanda suka.

Menurut Como, pemainnya yang tidak dinamakan berkata "abaikan dia, dia rasa dia Jackie Chan".

Kelab Itali menegaskan kenyataan itu adalah "merujuk kepada nama pemain, dan rujukan 'Channy' yang dibuat oleh rakan sepasukannya sendiri di atas padang".

Ketua jurulatih Wolves Gary O'Neil berkata Hwang mendapat sokongan penuh kumpulan Wolves.

Hwang bukanlah pemain Korea Selatan pertama yang mengalami serangan perkauman ketika bermain di liga Eropah.

Pada 2021, lapan lelaki yang disyaki menyiarkan komen perkauman terhadap bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min telah ditangkap di seluruh England dan Wales.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD