ROME, 20 Julai-Bekas bintang tengah Sepanyol, Cesc Fabregas dilantik sebagai Ketua Jurulatih Como selepas kejayaannya membawa kelab berkenaan melayakkan diri ke Serie A musim depan.
Pada musim ini, Febregas yang turut mempunyai sedikit saham pemilikan dalam kelab berkenaan bertindak sebagai penolong dan jurulatih sementara, kata kelab tersebut.
Bekas pemain Arsenal, Barcelona dan Chelsea menamatkan karier sebagai pemain di Como pada 2023 dan beralih sebagai penolong jurulatih kelab berkenaan.
Bekas pemain berusia 37 tahun itu dilantik sebagai jurulatih sementara pada November tahun lepas menggantikan Moreno Longo yang dipecat susulan prestasi hambar pasukan.
Como berjaya menunjukkan peningkatan dengan menduduki tangga ketiga di Serie B di bawah kendalian Febregas sebelum kelab berkenaan melantik Osian Roberts sebagai ketua jurulatih sementara dengan Febregas kekal menjadi pembantu.
Como berjaya melayakkan diri ke serie A selepas menamatkan kedudukan di tangga kedua liga.
"Roberts kini mengambil alih jawatan ketua Pembangunan kelab", kata pengurusan Como dalam kenyataan.
Sementara itu, Febregas melahirkan keterujaan dan berterima kasih kepada pengurusan Kelab Como yang memberinya sepenuh kepercayaan dalam mengemudikan kelab berkenaan pada musim depan.
"Pelantikan sebagai Ketua jurulatih Como menggembirakan saya dan saya ucapkan terima kasih kepada pemilik kelab kerana mempercayai saya.
"Musim depan bakal menjadi musim penting dan mencabar. Namun, saya beserta staf kejurulatihan percaya kami mampu melakukan sesuatu", katanya.
Dalam pada itu, Como turut mengumumkan kemasukan bekas pemain Liverpool, sevilla dan Villareal, Alberto Moreno sebagai pemain baharu kelab berkenaan di bawah Cesc Febregas dengan kontrak satu tahun dengan pilihan lanjutan kontrak semusim secara automatik.
"Alberto seorang pemain yang pantas, lasak dan mempunyai skil yang menarik sebagai pemain pertahanan.
"Menerusi pengalamannya beraksi di peringkat antarabangsa dan di peringkat Eropah, dia merupakan aset berguna bagi kelab bagi menempuh pertandingan baharu dan sukar", tambah Febregas.-REUTERS