fb fb fb fb fb

FIFA tangguh keputusan gantung Israel

Foto REUTERS

ZURICH, 20 Julai-Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menangguhkan sementara keputusan berhubung permohonan oleh Palestin bagi menggantung Israel daripada menyertai kejohanan antarabangsa susulan kekejaman jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap Palestin di Gaza.

"Dalam satu kenyataan pada Jumaat, FIFA berkata kertas cadangan penilaian undang-undang bebas terhadap cadangan Persatuan Bola Sepak Palestin kepada Persatuan Bola Sepak Israel dijadualkan diserahkan kepada FIFA pada 20 Julai ini.

"Berikutan permintaan lanjutan daripada kedua-dua pihak untuk mengemukakan jawatan masing-masing, yang diberikan oleh FIFA, lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan proses ini dengan teliti dan lengkap," tambahnya.

FIFA turut memaklumkan penilaian tersebut akan dikongsi dengan Majlis FIFA untuk sebarang keputusan selewat-lewatnya 31 Ogos.

Pada kongres tahunan FIFA ke-74 di Bangkok, Thailand, pada Mei, Persatuan Bola Sepak Palestin menggesa FIFA untuk menggantung Israel berhubung pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh Israel.

Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin Jibril Rajoub berkata Israel telah melakukan pelbagai pelanggaran "sistematik" terhadap Undang-undang FIFA dan menggesa kongres itu melaksanakan pengundian untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Israel daripada semua aktiviti bola sepak dan menghormati Palestin.

Berikutan itu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 16 Mei lalu, menyokong cadangan Palestin untuk menggantung Israel daripada FIFA berhubung perang jenayah di Gaza.

Sejak 2014, persekutuan bola sepak Palestin telah membangkitkan cadangan untuk menggantung Israel sebanyak lima kali, tetapi seruan tersebut semakin kuat sejak Oktober tahun lalu apabila rejim Israel melancarkan perang dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Sekurang-kurangnya 38,848 rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh sembilan bulan lalu, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita termasuk pemain bola sepak.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD