fb fb fb fb fb

KOKT 2025: Memupuk gaya hidup sihat serta mempromosi produk eko-pelancongan

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari

AMPANG JAYA, 15 Jun - Seramai 1,600 peserta dari 23 negara, termasuk Australia, New Zealand, Jepun, Filipina dan Vietnam, telah mengambil bahagian dalam King of Kemensah Trail (KOKT) edisi ke-11 yang diadakan selama dua hari pada 14 dan 15 Jun.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari berkata, penganjuran ini seiring dengan usaha pihaknya untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan produk eko-pelancongan di kawasan Ampang Jaya sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

"Ampang Jaya, sebuah kawasan perbandaran yang berhampiran dengan Kuala Lumpur. Walaupun berada dekat dengan ibu kota, Kemensah masih mengekalkan kehijauan dan kekayaan biodiversitinya. Kawasan ini dipenuhi dengan pelbagai flora dan fauna yang menjadi tarikan utama. Melalui acara ini, peserta tempatan dan antarabangsa diberi peluang untuk meneroka keindahan alam semula jadi, termasuk beberapa lokasi menarik yang menjadikan Kemensah sebagai destinasi pelancongan yang terkenal," katanya kepada media di sini, hari ini.

Acara sukan lasak tahunan ini dianjurkan oleh MPAJ dengan kerjasama HOKA dan The Comrades, melibatkan enam jarak larian iaitu 50km, 30km, 18km, 15km, 10km dan 5km yang melalui laluan mencabar di hutan Kemensah yang licin, berbukit serta berlumpur.

Lebih menarik, peserta berpeluang menikmati keindahan lokasi semula jadi seperti air terjun dan Bukit Pau yang menjadikan KOKT bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah menyajikan pengalaman larian unik yang berpaksikan keindahan alam semula jadi.

KOKT turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perhutanan, Gombak-Hulu Langat Geopark dan Tourism Malaysia, serta ditaja oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, N8 Sports Nutrition, Butik Pato, Naje Sports Gear, Dever Energy Gel dan Optastar Protein Industries.

KOKT adalah sebahagian daripada siri larian lasak yang turut berlangsung di Sungai Lembing dan Lenggong, sekali gus menjadikannya salah satu acara yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat sukan ekstrem di Malaysia dan serantau.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE