KUALA LUMPUR, 15 JUN - Kembalikan era kegemilangan sukan hoki negara.
Demikian hasrat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelang perlawanan Skuad Hoki Lelaki Negara, Speedy Tigers, yang bakal menentang Pakistan dalam saingan Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Tambah beliau, penganjuran lebih banyak kejohanan hoki bertaraf antarabangsa di gelanggang sendiri merupakan langkah yang diyakini dapat memberi pendedahan lebih luas kepada atlet tempatan serta meningkatkan prestasi mereka.
Beliau turut berkata hoki antara sukan yang popular di Malaysia dan pernah menyumbang banyak pingat di peringkat antarabangsa.
"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Malaysia yang akan bertemu Pakistan malam ini. Saya berharap mereka akan memberikan persembahan terbaik. Hoki juga merupakan salah satu sukan yang popular di negara ini dan pernah menyumbang banyak pingat untuk Malaysia. Justeru, saya berharap sukan hoki dapat kembali ke era kegemilangannya", katanya selepas Program Larian HKL FUN RUN 2025 di sini, hari ini.
Malaysia akan menentang Jepun pada 16 Jun dan New Zealand pada 18 Jun, selepas memulakan kempen kejohanan mereka dengan perlawanan menentang Pakistan malam ini.
Speedy Tigers mengakhiri saingan edisi lalu di Gniezno, Poland di kedudukan ketujuh. -RTM