KUALA LUMPUR, 15 JUN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik serta merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi penubuhan Akademi Sepak Takraw.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tanah bagi penubuhan akademi tersebut merupakan milik Institut Sukan Negara (ISN) telah diberikan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk dibangunkan sebagai akademi serta sebuah fasiliti khas yang dinamakan sebagai stadium.
Beliau menyifatkan ini sebagai satu kerjasama yang baik kerana KBS pada masa ini tidak berhasrat untuk membina fasiliti baharu, termasuk akademi atau stadium bagi semua jenis sukan.
"Kita mempunyai 103 jenis sukan dan sudah tentu tidak berkemampuan untuk menyediakan fasiliti bagi semuanya. Namun, kita tahu bahawa sepak takraw merupakan sukan yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga merupakan sebahagian daripada warisan sukan tradisional negara.
Melihat kepada peningkatan populariti sukan ini serta prestasi membanggakan pasukan negara di Kejohanan Piala Dunia dan Piala Asia baru-baru ini, PSM telah mengemukakan permohonan kepada pihak kami agar Perdana Menteri, selaku Menteri Kewangan, mempertimbangkan pemberian dana untuk menaik taraf fasiliti sedia ada bagi dijadikan Akademi Sepaktakraw.
Dengan pengiktirafan sepak takraw sebagai sukan teras pada masa ini, dan memandangkan fasiliti tersebut merupakan milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), usaha menaik taraf ini tidak merugikan. Ia adalah pelaburan ke atas fasiliti kerajaan untuk satu sukan yang amat dekat di kalangan rakyat Malaysia", katanya selepas Program Larian HKL FUN RUN 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, perbincangan lanjut bersama PSM akan diadakan dalam masa terdekat, selaras dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu melihat projek berkenaan direalisasikan secepat mungkin, iaitu sebelum pembentangan Belanjawan yang akan datang. -RTM