fb fb fb fb fb

Akademi Sepak Takraw Malaysia dijangka perkasa bakat, ekonomi persatuan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Atlet di bawah Biro Pembangunan Sepak Takraw PSM, Prof Dr Mohad Anizu Mohd Nor (kanan) / Foto hiasan

KOTA BHARU, 15 Jun - Penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat sukan itu serta membuka laluan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menjana sumber pendapatan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Atlet di bawah Biro Pembangunan Sepak Takraw PSM, Prof Dr Mohad Anizu Mohd Nor berkata, peruntukan RM6 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, membolehkan akademi itu dilengkapi fasiliti seperti pusat latihan, lokasi perlawanan rasmi, pejabat pentadbiran dan juga asrama.

Beliau berkata kemudahan yang lengkap ini juga membolehkan PSM menarik kerjasama antarabangsa untuk promosi dan latihan.

“Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada PSM untuk menjana pendapatan melalui program latihan dan penganjuran pertandingan,” katanya kepada Bernama.

Mohad Anizu berkata, akademi itu juga dijangka memperkukuh semula status sukan sepak takraw yang berpotensi disenaraikan semula sebagai sukan teras negara, selepas dimansuhkan pada 2017. - BERNAMA

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE