MUNICH, 15 Jun - Kedua-dua kelab mengesahkan pada Ahad bahawa Tottenham telah membeli pemain muda Perancis, Mathys Tel secara tetap daripada Bayern Munich selepas tamat tempoh pinjamannya bersama juara Liga Europa itu.
Pemain berusia 20 tahun itu menjaringkan tiga gol dalam 20 penampilan dalam semua kejohanan untuk Spurs musim lalu selepas menyertai kelab itu secara pinjaman pada Februari.
Tel telah menandatangani kontrak selama enam tahun bersama Tottenham dengan yuran perpindahan sekitar 35 juta euro (AS$40.4 juta) bersamaan kira-kira RM178.5 juta, menurut laporan media Jerman.
Tel sebelum ini menjaringkan 16 gol untuk Bayern selepas menyertai kelab itu sebagai remaja dari Rennes.
Tottenham telah melantik bekas pengurus Brentford, Thomas Frank sebagai pengurus baharu mereka awal minggu ini bagi menggantikan Ange Postecoglou yang telah dipecat. - AFP