KUALA LUMPUR, 24 Februari - Kemelut isu tunggakan gaji yang melanda kelab Kuala Lumpur City FC sejak musim lalu masih belum berakhir.
Mengesahkan perkara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abd Samad berkata, masih ada tunggakan kira-kira RM2 juta.
Menurutnya, tunggakan itu termasuk bayaran gaji pemain dan pengurusan kelab selama dua bulan.
Beliau berkata, isu tunggakan itu berlaku susulan pengurangan bajet daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu daripada RM10 juta kepada hanya RM5 juta.
"Hutang gaji tertunggak adalah untuk bulan Oktober dan November tetapi oleh kerana perubahan musim jadual musim dilakukan maka terlajak masuk Disember.
"Khabar angin yang mengatakan bahawa tertunggak selama empat, lima bulan adalah tidak benar. Gaji Disember kita akan cover dengan rundingan bersama para pemain", kata Khalid yang ditemui pada Jumaat.
Khalid bagaimanapun menegaskan kelab itu tidak akan mengurangkan bajet perbelanjaan sebanyak RM14 juta bagi musim ini.