KUALA LUMPUR, 10 November - Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan melunaskan tunggakan sebulan gaji pemain dan pegawai Kuala Lumpur City FC (KL City FC) akan dilunaskan esok.
Perkara itu disahkan Presidennya, Syed Yazid Syed Omar.
Menurutnya, pembayaran gaji itu sudah dibuat minggu lepas, namun terdapat beberapa masalah teknikal daripada pihak bank, yang menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.
"Untuk Oktober saya sudah luluskan untuk pembayaran pada 7 November, tetapi kita ada teknikal isu di bank.
"Jadi duit itu akan dimasukkan dalam akaun pemain dan pegawai pada esoklah..Isnin," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Kelab Penyokong Bolasepak KLFA, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan KLFA telah membuat pembayaran sebahagian tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pasukan KL City FC yang gagal dibayar sejak 2021 hingga Februari tahun ini.
Syed Yazid berkata, pihaknya telah melunas tunggakan berjumlah RM50,000 selain memaklumkan tunggakan lain akan diselesaikan secara berperingkat.