ISKANDAR PUTERI, 10 November- Johor Darul Takzim (JDT) menepati jangkaan, menewaskan Perak FC, 5-0, dalam aksi Liga Super 2024 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Perlawanan menyaksikan penyerang sensasi Harimau Selatan, Bergson Da Silva, mencipta hat-rick.
Gol pertama JDT disumbang penyerang Romel Oswaldo, pada minit ke-20, selepas penjaga gol Perak FC, Mohamad Ramdhan, gagal menangkap kemas hantaran bola daripada Arif Aiman.
Gol kedua pula disumbang Bergson Da Silva pada minit ke-22, menerusi ledakan daripada luar petak penalti.
Kedua-dua pemain berkenaan masing-masing menyumbat satu lagi gol pada minit ke-34 dan 48, menjadikan kedudukan 4-0 pada separuh masa pertama.
Sementara itu babak kedua menyaksikan situasi tegang antara Ariff Aiman dan Tommy Mawat, yang menyebabkan kedua-dua mereka dilayangkan kad kuning.
Tidak melepaskan peluang Bergson melengkapkan hat-trick perlawanan menerusi gol pada minit ke-89, yang dijaringkan tanpa melihat gawang gol.
Keputusan kekal 5-0 hingga pengadil, Razlan Joffri Ali meniup wisel penamat.
Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata, kesemua pemain menampilkan aksi cemerlang dan memanfaatkan peluang daripada pihak lawan.
"Para pemain bermain dengan prestasi yang bagus. Mereka sangat bersunguh-sungguh, dinamik, separuh masa pertama kami sangat baik.
"Pada separuh masa kedua pasukan membawa bola ke bahagian kiri dan kanan padang manakala pasukan lawan bermain dengan corak permainan lama, ia memberikan peluang kepada kami," katanya.
Bagi Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, beliau berpendapat pemain pasukan itu memberikan banyak ruang kepada JDT untuk melakukan serangan pada separuh masa pertama perlawanan.
Namun beliau berpuas hati dengan usaha anak - anak buahnya, memberi tentangan kepada JDT pada separuh masa kedua.
"Mungkin juga empat jaringan pada separuh masa pertama, meningkatkan usaha pemain untuk tidak tewas terlalu besar malam ini.
"Saya rasa pemain juga agak tertekan apabila selesai separuh masa pertama. Mungkin risau jaringan lebih besar akan berlaku tetapi alhamdulilah, pemain memberikan tentangan pada separuh masa kedua," katanya.