LAUSANNE, 21 Jun- Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Kirsty Coventry pada 23 Jun ini, menamatkan era lebih sedekad beliau menerajui salah satu badan sukan paling berpengaruh di dunia.
Bach, seorang peguam dari Jerman dan juara lawan pedang Olimpik, mula menerajui IOC pada 2013 dengan melaksanakan pelbagai pembaharuan menyeluruh, khususnya dalam memperkemas pengurusan temasya serta menstruktur semula badan tersebut.
Antara langkah utama yang diperkenalkannya termasuk usaha mengecilkan skala serta kos penganjuran Sukan Olimpik bagi menjadikannya lebih menarik kepada bandar-bandar tuan rumah pada masa depan.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau turut berdepan beberapa cabaran besar, termasuk skandal doping pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014, yang menyaksikan atlet Rusia bertanding sebagai atlet neutral dalam beberapa edisi temasya selepas itu.
Ketegangan politik di Korea sebelum temasya Pyeongchang 2018 turut menjadi antara isu utama yang ditanganinya, selain keputusan sukar menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selama setahun akibat pandemik COVID-19.
Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 pula terpaksa dianjurkan tanpa kehadiran penonton, manakala penyertaan atlet Rusia sebagai neutral kembali menjadi tumpuan pada temasya Paris 2024 susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.
Bach, 71 tahun, dijadual berundur secara rasmi Isnin ini, dan turut menamatkan keanggotaan beliau dalam IOC.
Namun begitu, beliau kini dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup IOC sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepimpinannya.
Sementara itu, Kirsty Coventry bekas juara renang Olimpik dari Zimbabwe yang juga atlet paling berjaya dalam sejarah benua Afrika, akan secara rasmi menggalas tanggungjawab sebagai Presiden baharu IOC, Isnin ini.
Pelantikannya dibuat selepas menang secara mengejut dalam pusingan pertama pemilihan yang berlangsung pada Mac lalu, menewaskan enam calon lain dengan majoriti undian.
Coventry, 41 tahun, mencipta sejarah sebagai wanita pertama serta individu pertama dari Afrika yang dilantik ke jawatan tertinggi badan induk sukan dunia itu.
Majlis penyerahan rasmi akan berlangsung di Lausanne, Switzerland, sekali gus menandakan bermulanya era baharu kepimpinan IOC.
Dalam satu sesi meja bulat bersama media baru-baru ini, Coventry berkata beliau lebih mengutamakan pendekatan kolaboratif dalam kepimpinannya.
“Saya suka bekerjasama, mendengar dan menghargai pandangan semua pihak. Bagi saya, itu sangat penting,” katanya ketika ditanya mengenai gaya kepimpinannya.
Namun beliau turut mengakui bahawa peranan sebagai presiden menuntut ketegasan dalam membuat keputusan.
“Saya juga sedar bahawa saya adalah presiden. Keputusan perlu diambil dan kita perlu terus bergerak ke hadapan,” jelasnya.
Pendekatan Coventry dilihat berbeza daripada pendahulunya, Thomas Bach, yang dikenali dengan gaya kepimpinan pantas serta berpusatkan kuasa dalam membuat keputusan.-REUTERS