TOKYO, 21 Disember - Penyerang veteran Jepun, Kazuyoshi Miura, akan meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesionalnya pada usia 58 tahun apabila dijangka menyertai pasukan divisyen ketiga, Fukushima United, bagi musim baharu.
Miura, yang dikenali sebagai “King Kazu”, bakal menyertai Fukushima United secara pinjaman selama setahun selepas beraksi bersama kelab divisyen keempat, Atletico Suzuka, musim lalu.
Walaupun perpindahan itu masih belum diumumkan secara rasmi, langkah terbaharu Miura sebelum ini lazimnya diumumkan pada jam 11.11 pagi pada 11 Januari, sebagai simbolik kepada nombor jersinya.
Bekas pemain antarabangsa Jepun itu akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-59 pada Februari depan, sekali gus memulakan musim ke-41 sebagai pemain profesional.
Musim lalu, Miura membuat tujuh penampilan bersama Suzuka, yang tersingkir ke liga serantau selepas menamatkan saingan di tangga kedua tercorot dan tewas dalam aksi playoff.
Miura memulakan kerjaya profesionalnya pada 1986 bersama kelab Brazil, Santos, sebelum beraksi di Itali, Croatia, Australia dan Portugal, termasuk membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Jepun pada 1990, namun tidak disenaraikan dalam skuad Piala Dunia 1998 meskipun menjaringkan 55 gol dalam 89 penampilan antarabangsa.
Beliau turut dikenang sebagai antara tokoh penting yang membantu mempopularkan bola sepak di Jepun ketika Liga J dilancarkan pada 1993.-AFP