fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: YDP Agong, Permaisuri bangga dengan pencapaian, semangat atlet negara

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan meraih keseluruhan 231 pingat pada temasya Sukan SEA 2025.

Berdasarkan hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang dan komitmen tinggi yang dipamerkan para atlet negara sepanjang temasya sukan berkenaan.

"Pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengorak langkah mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi," titah Seri Paduka Baginda menerusi Royal Press Office (RPO).

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara, barisan jurulatih, pegawai serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan kontinjen negara.

Malaysia menamatkan Sukan SEA 2025 di tempat keempat dengan 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa. ###

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR