fb fb fb fb fb

Kim Si-woo terajui RBC Heritage, atasi Thomas & Novak

Kim Si-woo beraksi pada kejohanan RBC Heritage di Harbour Town Golf Links, South Carolina / AFP

MIAMI, 20 April- Pemain Korea Selatan, Kim Si-woo, muncul pendahulu selepas tiga pusingan kejohanan RBC Heritage di South Carolina apabila mencatat lima bawah par 66, meletakkannya satu pukulan di depan Justin Thomas dan Andrew Novak.

Kim, juara empat kali Jelajah PGA, mengumpul enam birdie dalam 15 lubang pertama sebelum mencatat bogey di lubang ke-18, sekali gus membenarkan Thomas merapatkan jurang selepas pemain Amerika itu mencatat birdie di lubang tersebut.

Kim yang gagal layak ke Masters buat pertama kali sejak 2017 menjadikan kekecewaan itu sebagai motivasi untuk bersaing minggu ini, selepas memulakan hari dua pukulan di belakang.

Birdie awal di lubang pertama dan kedua membuka laluan buat Kim, yang turut cemerlang di lubang kelima dan kesembilan termasuk satu pukulan naik dan turun dari bunker.

Momentum diteruskan di lubang ke-13 dan ke-15 apabila beliau menggulir masuk putt sejauh 19 kaki, yang disifatkan sebagai pukulan paling penting hari itu.

Bagaimanapun, pukulan keduanya di lubang terakhir mendarat di tebing hazard dan gagal menyempurnakan par putt dari jarak enam kaki, menamatkan hari dengan jumlah keseluruhan 15 bawah par 198.

Thomas, yang kali terakhir menang pada Kejohanan PGA 2022, menamatkan pusingan ketiga dengan catatan dua bawah par 69 selepas birdie penting di lubang terakhir.

Beliau turut menerima penalti satu pukulan di lubang kedua apabila bola bergerak ketika cuba membuang serpihan dari kawasan pasir dan berdepan cabaran bermain dari air cetek di lubang ke-11.

Andrew Novak pula terus kekal dalam persaingan memburu gelaran PGA sulungnya dengan catatan lima bawah par 66, mengumpul birdie secara konsisten di lubang-lubang penting.

Maverick McNealy berada di tempat keempat secara bersendirian selepas catatan 65 untuk jumlah keseluruhan 200.

Brian Harman, juara British Open 2023 dan Tommy Fleetwood dari England pula berkongsi tempat kelima dengan 12 bawah par selepas masing-masing mencatat 66 dan 68.

Juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler, berkongsi kedudukan dengan Russell Henley pada 202, empat pukulan di belakang pendahulu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE