fb fb fb fb fb

Iwai, Coughlin & Lindblad terikat pendahulu LA Championship

Akie Iwai dan Chisato Iwai dari Jepun bersedia untuk melakukan pukulan di tee ke-13 semasa pusingan ketiga Kejohanan JM Eagle LA 2025 yang dibawakan oleh Plastpro, bertempat di El Caballero Country Club pada 19 April 2025 di Tarzana, California / AFP

LOS ANGELES, 20 April- Tiga pemain, Akie Iwai dari Jepun, Lauren Coughlin (Amerika Syarikat) dan Ingrid Lindblad (Sweden) kini berkongsi kedudukan pendahulu pada kejohanan LPGA LA Championship menjelang pusingan akhir Ahad di El Caballero Country Club.

Iwai, 22, mencatat pusingan cemerlang tanpa bogey dengan skor lapan bawah par 64, walaupun hampir terlepas tee-time selepas jam loceng gagal berfungsi. Aksi dimulakan dengan eagle di lubang pertama par-lima, meletakkannya dalam landasan memburu kemenangan sulung LPGA.

Beliau bermain bersama kembarnya, Chisato, namun berkata kehadiran adiknya itu tidak menjejaskan fokusnya.

Coughlin pula mencatat enam bawah par 66, juga tanpa bogey dan memulakan pusingan dengan tiga birdie berturut-turut. “Hanya satu bogey dalam tiga hari, memang puas hati,” katanya. Beliau berjaya membuat beberapa ‘par save’ penting di tengah pusingan.

Lindblad, rookie dari Sweden yang turut mendahului sebelum ini, mengekalkan rentak dengan empat bawah 68.

Ketiga-tiga pemain kini terikat di kedudukan 17 bawah par, tetapi persaingan masih terbuka dengan ramai pencabar rapat di belakang. Pemain Korea Selatan, Yoon I-na, hanya dua pukulan di belakang selepas mencatat skor serupa dengan Iwai, 64.

Bintang Amerika Nelly Korda pula tiga pukulan di belakang bersama Rio Takeda (Jepun) dan Minjee Lee (Australia). Korda yang akan mempertahankan gelaran di The Chevron Championship minggu depan, catat lima bawah 67 walaupun empat bogey mewarnai kartunya.

Korda berjaya melakukan eagle di lubang ke-16, namun kecewa menutup pusingan dengan bogey di lubang terakhir.

Saingan kejuaraan dijangka sengit esok dengan lebih 10 pemain dalam jarak empat pukulan daripada pendahulu. Keadaan padang yang mesra skor rendah juga membuka peluang untuk keputusan dramatik di pusingan penamat.

Pusingan akhir pada Ahad bakal menentukan sama ada nama baru akan muncul sebagai juara atau juara bertahan seperti Korda mampu bangkit saat akhir menjelang minggu penting di musim major.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE