fb fb fb fb fb

Kejohanan Snuker Dunia: Penampilan sulung Lei Peifan gegarkan Crucible, singkir juara bertahan

Pemain dari China, Lei Peifan

LONDON, 20 April- Pemain muda dari China, Lei Peifan mencipta kejutan besar pada hari pertama Kejohanan Snuker Dunia apabila menewaskan juara bertahan, Kyren Wilson 10-9 dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung di Teater Crucible, Sheffield.

Wilson, pemain England berusia 33 tahun yang sudah merangkul empat kejuaraan musim ini, pada awalnya dilihat mengawal permainan selepas bangkit daripada ketinggalan dua frame untuk mendahului 6-2 dalam format terbaik 19 frame.

Namun, Lei yang tampil tenang dan fokus, bangkit luar biasa dengan memenangi tujuh frame berturut-turut, sekali gus meletakkan tekanan besar ke atas Wilson yang kelihatan hilang rentak permainan.

Wilson sempat memecah kebuntuan apabila memenangi frame ke-16 dengan satu century break yang cemerlang. Namun kesilapan mudah ketika cuba melakukan pot bola hitam dalam frame berikutnya memberi ruang kepada Lei untuk kembali menguasai permainan.

Ketika mendahului 60-25 dan hanya beberapa bola daripada kemenangan, Lei terlepas peluang mudah, membolehkan Wilson kembali dan memenangi frame tersebut sekali gus merapatkan jurang kepada 9-8.

Wilson sekali lagi menyamakan kedudukan 9-9 selepas Lei gagal mengekalkan momentum dalam frame seterusnya, memaksa perlawanan ditentukan menerusi frame penentuan.

Namun, di saat genting, Lei mempamerkan ketenangan luar biasa dengan menghasilkan break 66 mata untuk menoktahkan kemenangan dan mara ke pusingan seterusnya.

Kekalahan Wilson menjadikannya pemain terbaharu yang terkena tempias 'sumpahan Crucible' di mana belum ada mana-mana juara bertahan pertama kali yang berjaya mempertahankan gelaran di Teater Crucible pada tahun berikutnya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE