LONDON, 21 Januari- Manchester City pada Isnin mengesahkan telah menandatangani pemain pertahanan tengah Uzbekistan, Abdukodir Khusanov dari kelab Perancis, Lens, dengan yuran yang dilaporkan berjumlah 40 juta euro (sekitar AS$42 juta) beserta bayaran tambahan.
Khusanov, pemain pertama dari Uzbekistan yang menyertai kelab Premier League, telah menandatangani kontrak selama empat setengah tahun di Etihad.
"Skuad ini penuh dengan pemain terbaik di dunia dan saya tidak sabar untuk bertemu dan bermain bersama mereka," kata pemain berusia 20 tahun itu, yang telah mengumpul 18 caps antarabangsa.
"Sudah tentu Pep Guardiola adalah salah satu jurulatih terbaik sepanjang zaman dan saya sangat teruja untuk belajar daripadanya dan memperbaiki permainan saya lebih lagi."
Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain, berkata, "Untuk seorang pertahanan muda, Abdukodir sudah sangat bijak, selain kuat, agresif dan sangat pantas."
"Bekerja dengan Pep akan menjadikannya lebih baik dan berbicara dengannya, dia bertekad untuk terus meningkatkan prestasinya."
Kontrak yang dimeterai Khusanov memastikan dia kekal di Etihad sehingga hujung musim 2028/29.
Juara Liga Perdana Inggeris itu kini berada di kedudukan keempat selepas menang 6-0 di Ipswich pada Ahad.-AFP