SEPANG, 3 Mei- Pengalaman pemain senior ditagih bagi membantu muka baharu menampilkan aksi terbaik di temasya sukan terbesar ASEAN, Sukan Sea Hanoi 2021.
Jurulatih Skuad Futsal Wanita Negara, Jamhuri Zainuddin berkata seramai lapan pemain baharu bakal membuat penampilan sulung di Vietnam.
Antaranya pemain tersebut adalah dari KL Prefer-Cyberlynx, Nur Ainsyah Murad serta empat pemain dari Sabah, termasuk Usliza Usman dan Shereilynn Elly Pius.
Jelas beliau, fokusnya ketika ini adalah bagi memantapkan pasukan dalam dua aksi persahabatan di Vietnam sebelum memulakan aksi menentang Thailand.
Berdasarkan perkembangan semasa pemain, saya akan lebih memfokuskan kepada strategi bertahan. Untuk berdepan Thailand dan Vietnam, aspek bertahan ni kita perlu pertingkatkan dan perbaiki kerana taktikal serangan mereka cukup pelbagai," kata beliau secara eksklusif kepada RTM sebelum berlepas ke Hanoi.
(Jurulatih Futsal Wanita, Jamhuri Zainuddin ditemui media di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang)
Jamhuri membariskan 8 pemain senior dan 8 muka baru dalam senarai akhir 16 pemain ke Sukan SEA.
Antara pemain senior yang dipertaruh ialah pemain Melaka, Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Hanis Farhana Shamsul Azizan serta pemain Selangor MBSJ, Noorasyeimah Mohamad Rashid.