fb fb fb fb fb

Khidmat Misbun ditagih lima negara

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Khidmat bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek kini ditagih beberapa negara untuk membimbing skuad senior pasukan berkenaan.

Misbun memaklumkan telah menerima sekurang-kurangnya lima tawaran dari luar negara selepas sah berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), baru-baru ini.

Jurulatih berusia 63 tahun itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Namun difahamkan Thailand dan Singapura antara yang menyatakan minat.

“Memang hati saya untuk negara, tetapi kalau khidmat saya masih ditagih oleh luar negara, mereka mahukan ideologi saya untuk membentuk pemain mereka, apa salahnya. Apa yang mereka mahukan adalah sentuhan penyudah dan bagaimana capai kemenangan.

“Saya belum buat keputusan muktamad kerana ia turut bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang saya kemukakan. Buat masa sekarang, saya mahu berehat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di sini pada Ahad.

Misbun juga tidak menolak kemungkinan untuk membawa adik yang juga bekas pemain beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai pembantunya, sekiranya beliau berkelana di luar negara kelak.

Dalam perkembangan lain, Datuk Misbun Sidek berpendapat - khidmat Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih relevan.

Menurutnya, Tan Sri Norza telah menerajui badan induk itu dengan baik sejak tahun 2017.

Tegasnya keputusan Tan Sri Norza meletakkan jawatan bukan susulan kemelut melibatkan dirinya serta badan induk itu.

“Saya rasa sedih juga apabila Tan Sri Norza mengumumkan untuk meletak jawatan hujung tahun ini, tetapi untuk saya kenapa beliau nak berhenti? Jika tanya saya, beliau masih lagi relevan dan berwibawa sebagai presiden", katanya.

Awal bulan ini, Tan Sri Norza mengumumkan perletakan jawatannya hujung tahun ini - lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya Julai lalu.


( Bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM),
Datuk Misbun Sidek/FOTO RTM) 

Media Baharu