MILAN, 29 Julai - Atlet lawan pedang Ukraine, Olha Kharlan diberikan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Jumaat selepas dia disingkirkan daripada kejohanan dunia kerana enggan berjabat tangan dengan lawan dari Rusia.
Persekutuan Lawan Pedang Antarabangsa (FIE) turut menyatakan mereka menyenaraikan semula Kharlan sekali gus membolehkannya mengambil bahagian dalam acara berpasukan pada kejohanan dunia di Milan, Itali.
Emmanuel Katsiadakis, Presiden FIE dari Greece berkata, keputusan itu diambil "selepas rundingan bersama IOC."
Kharlan, atlet lawan pedang pertama berdepan lawan dari Rusia atau Belarus sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menang 15-7 ke atas Anna Smirnova dari Rusia kelmarin.
Pemenang empat pingat Olimpik berusia 32 tahun itu enggan berjabat tangan dengan Smirnova sebaliknya hanya melagakan bilah pedangnya dengan pihak lawan.
Namun peraturan FIE menyatakan kedua-dua atlet perlu bersalaman.
Smirnova membuat protes selama 45 minit apabila enggan meninggalkan gelanggang pertandingan.
Kharlan mendakwa Katsiadakis memberi jaminan kepadanya "boleh" tidak berjabat tangan dan sebaliknya hanya menyentuh bilah pedangnya susulan kemenangannya.
"Saya fikir saya boleh berpegang kepada kata-katanya, tetapi jelas tidak sama sekali," kata Kharlan.
Susulan pembatalan kemenangannya itu, IOC meminta atlet Ukraine diberi layanan "secara sensitif."
Semalam, Presiden IOC Thomas Bach, yang juga bekas atlet lawan pedang Olimpik, menghantar surat kepada Kharlan menyatakan dia diberi tempat pada Olimpik Paris 2024 tidak kira sama ada dia mengutip mata kelayakan secukupnya atau sebaliknya.
"Sebagai seorang atlet lawan pedang, sukar untuk saya membayangkan apa perasaan anda ketika ini," tulis Bach.
"Memandangkan situasi unik anda, IOC akan memperuntukkan satu kuota tambahan buat anda pada Sukan Olimpik Paris 2024 sekiranya anda tidak mampu layak dalam tempoh berbaki selepas ini." – AFP