KUALA LUMPUR, 30 November- Juara remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka selepas menundukkan rakan senegara, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao, pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.
Dalam aksi final di Akademi Badminton Babu Banarasi Das U.P., pasangan muda pilihan keenam itu tampil bertenaga untuk mengejutkan gandingan pilihan ketiga dengan kemenangan 21-9, 21-19 dalam masa hanya 32 minit, sekali gus merangkul gelaran kedua mereka musim ini.
Kejayaan dalam saingan Super 300 itu turut mengukuhkan rekod pertemuan Khai Xing-Aaron ke atas lawan senegara mereka, selepas turut menewaskan pasangan tersebut pada Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri bulan lalu. Ketika itu, mereka mencatat kemenangan 21-18, 21-7 untuk muncul juara.
Gelaran di Lucknow membawa pulangan manis apabila Khai Xing-Aaron meraih USD18,760 (kira-kira RM78,352.16), manakala Weijie-Sheng Hao membawa pulang USD9,120 (sekitar RM37,688.38).