SAMARAHAN, 13 Ogos - Tiga kesalahan pasukan Perak, iaitu menjaringkan dua gol ke gawang sendiri dan menghadiahkan sepakan penalti kepada Sarawak tidak sepatutnya berlaku, kata ketua jurulatih Perak.
Mohamad Ali Mahat berkata, strategi baharu akan ditampilkan dalam perlawanan seterusnya menentang Johor, esok.
Namun, beliau tetap berpuas hati dengan permainan anak buahnya yang berjaya mendahului perlawanan dan mewujudkan persaingan hebat.
“Saya juga bangga apabila pemain saya dapat mengatasi sorakan penyokong-penyokong Sarawak yang sangat ramai.
"Saya sebenarnya takut mental mereka terganggu tetapi Alhamdulillah, mereka berjaya atasinya dan bermain dengan baik," katanya pada sidang media selepas Perlawanan Futsal Lelaki Kumpulan B, di Stadium Tertutup Samarahan di sini, hari ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, Mohd Faizal Zamri berkata, pada awalnya agak sukar mengejar corak permainan Perak.
Namun, sokongan luar biasa daripada penonton membuat pasukan berjaya menjaringkan gol walaupun dalam keadaan tegang.
“Itu adalah taktikal kami. Sekiranya Perak tidak menjaringkn gol sendiri, akan ada pemain kami yang datang dari belakang menjaringkan gol tersebut.
"Namun kesilapan pasukan Perak menjaringkan gol sendiri memberikan kami lebih teknik untuk mencari gol selepas itu," jelasnya.
Sarawak dan Perak berkongsi satu mata dalam saingan Futsal Lelaki Kumpulan B, apabila terikat seri pada kedudukan 4-4 di Stadium Tertutup Kota Samarahan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada Selasa.