KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akui pemain di bawah naungannya tidak mencapai sasaran susulan gagal meraih pingat emas di temasya Olimpik Paris 2024.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, tiada sebarang alasan mengenai pencapaian itu sebaliknya mahu terus fokus meningkatkan prestasi pemain pada kejohanan akan datang.
"Kami gagal capai sasaran, tapi badminton masih sukan yang sumbang pingat kepada kontinjen dalam hampir setiap Olimpik. Mungkin ada yang cakap sekadar gangsa, tapi ia bukan mudah, saya berterima kasih atas sokongan diberikan.
"Jadi, saya tidak mahu bagi alasan kerana letak benda ini di belakang dan buat penambahbaikan," katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berpandangan pemain-pemain BAM tidak gagal sepenuhnya kerana peningkatan prestasi yang ditonjolkan.
"Perasaan bercampur baur itu ada, sebab kecewa kerana gagal bawa pulang pingat emas, tetapi gembira juga berasaskan persembahan pemain. (Kami) akan pastikan 2028 kami akan bawa pingat emas," katanya.
Sebelum ini, hanya gandingan di bawah naungan BAM berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi gandingan Aaron-Wooi Yik.
Manakala dua lagi wakil beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing-masing mara ke aksi penentuan pingat gangsa dan suku akhir.