ST ANDREWS, 15 Julai- Tiger Woods mengharungi permulaan Terbuka British yang agak hambar selepas juara tiga kali itu mencatat enam atas par 78 sekali gus peluang untuk mara ke pusingan seterusnya dilihat tipis.
Woods tampil buat pertama kali di Terbuka British sejak tahun 2019, kejohanan yang menyaksikan dia menjulang Claret Jug sebanyak dua kali amat dinantikan peminat.
Namun, juara major 15 kali itu bermula dengan double-bogey di lubang pertama selepas pukulan lemahnya itu menemui air kemudian mengganggu prestasi Woods di lubang-lubang berikutnya.
"Ia hari yang panjang. Ini antara kejohanan yang paling dinantikan, cuma saya tidak melakukannya dengan baik," kata Woods.
Woods kini ketinggalan 14 pukulan di belakang pendahulu, Cameron Young selepas pusingan pertama.
Hanya 70 pemain teratas akan melepasi had kelayakan ke dua pusingan terakhir.
Terdahulu, Woods terlibat kemalangan kereta pada Februari yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dibedah sekali gus menyebabkan dia tidak menyertai kejohanan itu pada tahun lalu.
Kesan daripada kemalangan itu menyaksikan Woods berjalan terhincut-hincut di lapangan dalam pusingan yang memakan masa lebih enam jam akibat permainan perlahan.- AFP
(FOTO AFP)