fb fb fb fb fb

Kes gangguan seksual :Jurulatih renang Para direhatkan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Mac -Jurulatih yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual membabitkan perenang para negara, direhatkan sehingga siasatan isu salah laku selesai.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sebaik laporan diterima, Pegawai Pelindungan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan perjumpaan bersama atlet terlibat untuk melindungi hak mereka menerusi kod Sukan Selamat.

Hannah menegaskan, tindakan sewajarnya diambil terhadap jurulatih berkenaan jika terbukti bersalah, menerusi siasatan pihak polis yang masih berjalan.

"Itu sebab kita terus merehatkan jurulatih untuk pastikan siasatan berjalan. Tetapi kalau surat layang ini betul, kita akan ambil tindakan terus. tetapi kalau surat layang ini tidak betul, saya akan pastikan tindakan undang undang", kata Hannah di sini.

Menurut Hannah, ada sebahagian atlet renang yang mahukan khidmat jurulatih itu untuk terus mengemudi pasukan dalam persiapan ke Sukan Paralimpik Paris.

Namun MSN akan meneliti permintaan berkenaan berikutan ia melibatkan keselamatan atlet.

Hannah turut mengesahkan tiada jurulatih baharu dimasukkan dalam Majlis Paralimpik Malaysia bagi mengganti jurulatih berkenaan.

Sementara itu, suntikan semangat baharu terus diberikan kepada kesemua atlet yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris apabila ganjaran berupa sebuah kereta menanti mereka yang berjaya memenangi pingat.

"Sebenarnya dalam persiapan Road To Gold Paris, kita telah mula menerima tawaran daripada satu syarikat yang menawarkan kereta untuk atlet kita", kata Hannah.

Bagaimanapun,Hannah turut berharap syarikat tempatan termasuk syarikat berkaitan kerajaan untuk tampil memberi ganjaran kepada atlet yang mengharumkan nama negara di Paris 2024 kelak.

Ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta kepada pemenang emas Sukan Olimpik.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD