KUALA LUMPUR, 1 Mac- Bekas pengendali Selangor FC Tan Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih baharu sebuah kelab bola sepak dalam Liga Thailand, Police Tero FC.
Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh Police Tero menerusi hantaran di laman Facebook.
Police Tero FC mengumumkan pelantikan Tan Cheng Ho sebagai ketua jurulatih dan memindahkan jurulatih Yong Warawut Srimakha sebagai presiden teknikal.
Perkembangan baharu itu sekali gus menjawab desas-desus berhubung hasrat Cheng Hoe membimbing sebuah kelab di negara Gajah Perang berkenaan selepas tidak lagi bersama pasukan Selangor.
Tempat Cheng Hoe bakal diisi Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih sementara menunggu pelantikan ketua jurulatih baharu.
Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe telah membantu Gergasi Merah menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super Malaysia 2023, sekali gus memastikan mereka layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 untuk musim 2024/2025.