PETALING JAYA, 5 Julai –Pasukan e-sukan profesional, CG Esports, dan Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama strategik menjadikan Royale Chulan Gaming Arena sebagai hab latihan rasmi pasukan berkenaan menjelang Liga MPL Musim ke-16.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia, Datuk Rosthman Ibrahim, inisiatif itu bertujuan membuka ruang baharu bagi penglibatan belia dalam ekosistem e-sukan dan memperkukuh hubungan dengan komuniti digital tempatan.
“Kami ingin menyasarkan kumpulan sasaran yang baru iaitu golongan muda sering berkecimpung dalam bidang esport pada masa sama saya berkesempatan mengenali ciku bersama rakan rakan lain dan mereka ini dibawa kepada daripada todak ,” katanya pada pelancaran Royale Chulan Gaming Arena di sini hari ini.
Royale Chulan Gaming Arena dilengkapi dengan kerusi permainan dan perabot ergonomik daripada Todak Culture, serta perkakasan teknologi terkini daripada jenama antarabangsa seperti SHARP, Samsung dan ZOTAC, menjadikannya antara fasiliti e-sukan paling moden di negara ini.
Pelancaran arena itu turut dimeriahkan dengan sesi ramah mesra bersama pemain-pemain CG Esports yang baru sahaja menjuarai Mobile Legends Academy League (MAL) dan menempah slot ke Liga MPL.
Kerjasama itu bukan sahaja memberikan kelebihan latihan kepada CG Esports dalam persekitaran profesional dan selesa, malah dijangka membantu memacu pertumbuhan komuniti e-sukan tempatan dan menonjolkan potensi jenama tempatan seperti Todak di peringkat lebih tinggi.