fb fb fb fb fb

Kerja naik taraf stadium hoki NS, dilaksana dalam masa terdekat

SEREMBAN, 18 Julai- Kerajaan Negeri Sembilan akan melakukan kerja-kerja menaik taraf Stadium Hoki Utama di Kompleks Sukan Tan Sri Dr. Haji Mohd Said di Seremban 2, dalam masa terdekat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri sedang dalam perancangan bagi kerja-kerja naik taraf tersebut berikutan stadium yang kelihatan usang, namun kos naik taraf belum dimuktamadkan.

"Kita sedang lihat beberapa keperluan. Kita naik taraf semula stadium tersebut yang nampak usang. Itu dah lama sejak selepas SUKMA, makna baru kali pertama bertukar lebih dari 10 tahun," kata Aminuddin kepada pemberita pada Majlis Anugerah Hadiah Kemenangan Kepada Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan Bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023, di sini.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

Kejayaan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan merangkul tiga trofi dalam Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan tahun ini mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS).

Pasukan tersebut telah berjaya mencipta sejarah sebagai pasukan pertama negara menggondol kejuaraan treble selepas memenangi Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Wanita Malaysia dan Piala Vivian May Soars.

Dalam majlis itu, Datuk Seri Aminuddin turut menyampaikan bonus sebanyak RM2,000 kepada setiap pemain dan Ketua Jurulatih, K. Rajan.

Media Baharu