fb fb fb fb fb

Keputusan tukar rumput Zeon Zoysia di Stadium Perak diketahui hujung tahun ini

FOTO HIASAN

IPOH, 2 November- Keputusan untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Perak akan diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, perbincangan masih dijalankan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kerajaan negeri berhubung penggunaan rumput tersebut.

Jelasnya, MBI yang bertanggungjawab terhadap Stadium Perak tidak mempunyai masalah berhubung kos penyelenggaraan rumput itu sekiranya digunakan.

"Andai kata, kita mula gunakan rumput itu tahun depan dan ianya memerlukan 'rehat' enam ke lapan bulan sebelum boleh digunakan, dikhuatiri pasukan Perak tiada tempat untuk beraksi, di Ipoh tiada stadium yang lebih besar jadi masih banyak isu pentadbiran yang perlu diselesaikan.

"Ketika ini kita sedang berunding dengan kerajaan negeri, setakat ni kita perlu lihat dahulu tapi daripada segi keupayaan kita mampu, itu yang kita mahu bagitahu ,"katanya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini menawarkan geran kepada kerajaan negeri untuk menukar rumput di stadium mereka kepada jenis Zeon Zoysia yang hanya merangkumi kos penukaran rumput sahaja.

Menterinya Hannah Yeoh memaklumkan, setakat ini, hanya Sarawak menyatakan persetujuan untuk menggunakan rumput itu manakala Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang memilih untuk menggunakan rumput sedia ada.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE