NEW YORK, 3 November - Kenya terus menguasai pentas maraton dunia apabila menyapu bersih kedudukan podium lelaki dan wanita pada New York Maraton 2025, dengan Benson Kipruto dan Hellen Obiri masing-masing dinobatkan juara selepas aksi mendebarkan di garisan penamat.
Dalam saingan lelaki, Kipruto mencatat masa 2 jam 8 minit 9 saat untuk menewaskan rakan senegara, Alexander Mutiso, dalam penamat foto selepas kedua-duanya berlari seiring pada 50 meter terakhir. Albert Korir, juara edisi 2021, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 2:08:57.
Bagi kategori wanita, Hellen Obiri, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris, sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila mempertahankan gelaran dengan masa 2:19:51, sekali gus memecahkan rekod laluan berusia 22 tahun milik Margaret Okayo.
Obiri yang juga juara edisi 2023, menjarakkan diri daripada pencabar terdekatnya, Sharon Lokedi (2:20:07), pada selekoh terakhir, manakala juara tahun lalu, Sheila Chepkirui, berpuas hati di tempat ketiga.
Dalam kategori kerusi roda, atlet Switzerland Marcel Hug muncul juara lelaki, manakala Susannah Scaroni dari Amerika Syarikat menjuarai kategori wanita.
Perlumbaan ikonik yang melalui lima daerah utama New York itu turut menutup tirai kalendar World Marathon Majors bagi tahun ini.-REUTERS