fb fb fb fb fb

Kennedy muncul pelari pecut Australia catat bawah 10 saat

Foto AFP / REUTERS

NAIROBI, 1 Jun - Lachlan Kennedy muncul sebagai pelari pecut pertama Australia dalam tempoh lebih dua dekad setelah berjaya mencatat masa di bawah 10 saat secara sah dalam acara 100 meter apabila menjuarai acara pecut pada Kejohanan Klasik Kip Keino di Nairobi, pada Sabtu.

Kennedy melintasi garisan penamat dengan masa 9.98s, sekali gus menyertai pemegang rekod kebangsaan Patrick Johnson sebagai satu-satunya rakyat Australia yang berlari di bawah 10s dan yang pertama melakukannya dalam tempoh 22 tahun.

"Saya hadir untuk menang hari ini dan bawa pulang kejayaan dan saya amat teruja dengan kemenangan dan catatan masa itu," katanya.

"Ia amat menakjubkan. Akhirnya saya boleh kata saya berlari 9 saat! Saya tidak mahu tergesa-gesa atau beri tekanan kepada diri sendiri. Saya ambil setiap perlumbaan seperti biasa dan tahu masanya akan tiba juga."

Kennedy sebelum ini bersaing rapat dengan pelari remaja sensasi, Gout Gout untuk muncul pelari pertama Australia memecahkan had 10s sejak Johnson mencatat rekod kebangsaan 9.93s pada Kejohanan Mito International di Jepun pada tahun 2003.

Gout pernah mencatat masa bawah 10s dalam keadaan dibantu angin, namun Kennedy muncul yang pertama melakukannya secara sah, selepas sebelum ini mencatat masa 10.00s dalam saringan Kejohanan Australia di Perth pada April lalu.

"Saya semakin baik dalam setiap perlumbaan," kata Kennedy, 21 tahun, kepada Australian Athletics.

"Ia satu kelebihan apabila saya berdepan musim yang panjang di tanah air. Saya tidak rasa letih, jadi saya teruja mahu lihat apa yang saya boleh capai kemudian nanti apabila saya semakin hampir ke Kejohanan Dunia." – REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE