MUNICH, 1 Jun - Paris Saint-Germain (PSG) memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab apabila berjaya membelasah Inter Milan pada Sabtu dengan Desire Doue menjaringkan dua gol ketika kemenangan luar biasa 5-0.
Kapten Paris Saint-Germain, Marquinhos berkata, kemenangan itu turut menjadi penghargaan kepada lagenda-lagenda yang pernah bermain bersama pasukan itu.
"Saya tak boleh lupakan mereka yang datang sebelum saya dan pernah bermain bersama saya. Pemain-pemain lagenda hebat juga layak untuk menang trofi ini walaupun mereka tidak sempat menikmatinya semasa mereka di sini,” jelasnya.
“Pemain-pemain hebat seperti Thiago (Silva), Neymar, Lucas Moura, Maxwell – mereka juga layak untuk ini. Mereka sebahagian daripada sejarah kami, mereka membantu kelab ini berkembang.”
Pemergian beberapa pemain ternama seperti Lionel Messi, Neymar Jr., dan penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab, Kylian Mbappe, menjadi bukti perubahan itu, dengan Marquinhos kini hanya tinggal satu daripada dua pemain yang masih kekal bersama Presnel Kimpembe daripada skuad yang bermula dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2020.
Terdahulu, Paris Saint-Germain (PSG) mempamerkan aksi lima bintang untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama dengan menewaskan Inter Milan 5-0 di Stadium Allianz Arena awal pagi tadi.
Achraf Hakimi, yang beraksi menentang bekas kelabnya, menghadiahkan PSG gol pendahuluan awal dan Doue bertukar daripada pengumpan kepada penjaring apabila rembatan yang terkena pemain lawan menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-20.
Doue menjaringkan satu lagi gol sejurus selepas sejam permainan sebelum Khvicha Kvaratskhelia menambah gol keempat dan pemain gantian Senny Mayulu menjadikan kedudukan 5-0.