AMSTERDAM, 1 Jun - Kelab Eredivisie pada Sabtu mengesahkan John Heitinga telah dilantik oleh Ajax Amsterdam sebagai ketua jurulatih baharu mereka dengan kontrak selama dua tahun telah ditandatangani.
Heitinga, 41 tahun, yang pernah membuat lebih 200 penampilan bersama Ajax ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain, sebelum ini pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan simpanan dan jurulatih sementara kelab tersebut.
Kini, beliau kembali ke Amsterdam dengan menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan dibantu oleh Marcel Keizer, satu lagi produk akademi Ajax yang berpengalaman dalam bidang kejurulatihan.
“John sangat mengenali kelab ini,” kata Pengarah Teknikal Ajax, Alex Kroes.
“Kami yakin dia bersama Marcel mampu meningkatkan prestasi pemain serta meneruskan pembangunan positif sejak musim panas lalu," katanya lagi.
Heitinga pernah membimbing Ajax dalam 22 perlawanan pada penghujung musim 2022/23 dan memenangi 14 daripadanya, yang membantu kelab itu menamatkan musim di tempat ketiga liga.
Sepanjang musim 2023/24, beliau menyertai West Ham United sebagai jurulatih pasukan utama di bawah kendalian David Moyes, sebelum menyertai pasukan kejurulatihan Arne Slot di Liverpool musim panas lalu.
Sumbangan mereka membuahkan hasil apabila The Reds merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kedua dalam sejarah mereka. - REUTERS