SOFIA, 5 September - Juara Euro 2024, Sepanyol memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Bulgaria di Stadium Vasil Levski, Sofia.
Tiga gol pada babak pertama menerusi Mikel Oyarzabal, Marc Cucurella dan Mikel Merino memastikan kemenangan selesa buat skuad La Roja.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata kemenangan itu memberi keyakinan awal pasukan selepas beberapa tonggak utama kembali daripada kecederaan panjang.
“Rodri Hernandez dan Dani Carvajal akhirnya dapat kembali beraksi, sesuatu yang amat penting kerana mereka berdua sudah lama tidak bersama pasukan,” katanya selepas perlawanan.
Sepanyol, yang menjuarai Piala Dunia buat kali pertama pada 2010, dijangka mengungguli Kumpulan E yang turut menampilkan Turkiye dan Georgia untuk mara secara automatik ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Pertemuan itu juga merupakan perlawanan kompetitif pertama antara Sepanyol dan Bulgaria dalam tempoh lebih 20 tahun, kali terakhir bertemu pada Piala Dunia 1998.
Pemain tengah Arsenal, Martin Zubimendi, mencipta gerakan gol pembukaan apabila hantaran kemasnya disudahkan Oyarzabal seawal minit kelima.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan menerusi Radoslav Kirilov yang terkena tiang, sebelum Cucurella menggandakan kelebihan dengan rembatan kencang pada minit ke-17.
Pemian sayap Barcelona, Lamine Yamal, kemudian melakukan hantaran sudut tepat yang disudahkan Merino dengan tandukan untuk gol ketiga pada minit ke-24.
Pada separuh masa kedua, Merino hampir menambah jaringan apabila percubaannya terkena palang, manakala Yamal terus mencuri tumpuan dengan aksi lincah biarpun gagal menjaringkan gol.
Sepanyol akan menentang Turkiye pada Ahad ini dalam aksi kedua kumpulan selepas lawan mereka itu menewaskan Georgia 3-2.-AFP