fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia 2026: Pan Gon yakin Harimau Malaya mampu menang besar

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Jun-Harimau Malaya mampu menang besar menentang Taiwan.

Keyakinan itu disuarakan Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelang aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kemenangan besar dalam aksi malam ini penting bagi menghidupkan peluang Malaysia layak ke pusingan ketiga.

Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan satu lagi pertembungan membabitkan Oman dan Kyrgyzstan di Muscat.

"Kita menang pada perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea dengan 10 gol. Bezanya kali ini, kita mempunyai barisan pemain berbeza daripada sebelumnya.

"Pasukan Taiwan mungkin agak sukar bermain di Bukit Jalil memandangkan kita mempunyai penyokong setia yang ramai", katanya dalam sidang media di sini semalam (Isnin).

Ketika ini Malaysia menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan yang berada di tangga kedua manakala Oman mengungguli kumpulan dengan 12 mata.

Sekiranya gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia akan bersaing dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bagi memburu tempat dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Taiwan memberi amaran bahawa misi utama mereka malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah untuk menang.

Menurut Ketua Jurulatihnya, Gary White, Taiwan tidak akan memberikan laluan mudah kepada Malaysia.

"Kami datang ke sini untuk menang. kami tegaskan kami mempunyai keinginan bagi mendapatkan mata agar kami terus maju.

"Kami kehilangan beberapa pemain akibat liga super china dan kami merupakan skuad muda yang mempunyai hasrat untuk menang", kata white.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih Taiwan White berkata, tidak masuk akal Malaysia mampu menewaskan Taiwan 8-0 memandangkan skuad Harimau Malaya hanya berjaya menang 1-0 November lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD