fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia 2026: Menang menentang Arab Saudi beri Indonesia keyakinan- Tae-yong

Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong/ Foto REUTERS

JAKARTA, 20 November-Ketua Jurulatih indonesia, Shin Tae-yong percaya kejayaan pasukannya menewaskan bekas juara Piala Asia, Arab Saudi di sini pada Selasa memberi peluang kepada pasukannya untuk mara ke Piala Dunia 2026.

Pada perlawanan berkenaan, pasukan yang dijuluki sebagai 'Pahlawan Garuda' itu berjaya menjaringkan dua gol menerusi Marselino Ferdinan sekali gus memberikan kemenangan pertama buat pasukan tersebut pada fasa ketiga pusingan kelayakan benua Asia.

Kemenangan tersebut menyemarakkan harapan Indonesia untuk mara buat kali pertama ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang dijadualkan dilangsungkan di Amerika Utara.

"Para pemain mendapat suntikan semangat dan keyakinan daripada kemenangan tersebut.

"Sebelum bermulanya pusingan kelayakan, saya mempunyai matlamat untuk berada di kedudukan ketiga dan keempat kumpulan", kata Tae-yong.

"Kami masih mempunyai dua lagi perlawanan untuk diharungi dan kami percaya kami mampu menepati sasaran pasukan", tambah beliau.

Indonesia cuba untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1938, ketika negara berkenan dikenali dengan nama Hindia Belanda Timur.

Kemenangan terbaharu itu meletakkan Indonesia di tangga ketiga kumpulan C dengan enam mata.

Jepun mengungguli kumpulan dengan 16 mata, diikuti Australia, enam mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir secara automatik.

Manakala, pasukan di tangga ketiga dan keempat kumpulan akan berentap pada pusingan penentuan bagi merebut dua lagi slot terakhir benua Asia.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD