fb fb fb fb fb

Kelantan TRW rombak jentera serangan bertemu Melaka FC

Pemain Kelantan TRW meraikan jaringan gol pada perlawanan Piala FA 2025/2026 menentang pasukan Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Ogos lalu/BERNAMA

KOTA BHARU, 23 Oktober - Rombakan di bahagian serangan akan dilakukan oleh Kelantan The Real Warriors (TRW) bagi menghadapi Melaka FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV esok.

Menurut Penolong Jurulatih Kelantan TRW Akmal Rizal Rakhli, pertukaran formasi itu dilakukan apabila penyerang import Ifedayo kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan dan direhatkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kepulangan Ifedayo akan membantu menguatkan jentera serangan kerana perlawanan sebelum ini kami banyak mencipta peluang, namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan,” katanya.

Kelantan TRW kini menduduki tangga ketujuh liga selepas tujuh perlawanan hasil dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan, manakala Melaka FC berada di kedudukan ke-11 hasil tiga keputusan seri dan dua kekalahan selepas lima perlawanan.

Sementara itu, Akmal Rizal berkata selain mengharapkan ketajaman penyerang import itu, beliau turut menambah baik taktikal serangan kepada pemain lain ketika sesi latihan bagi memastikan pasukan berkenaan memperoleh kemenangan kerana bermain di laman sendiri.

“Jentera serangan perlu memberi tekanan dari awal sehingga minit akhir perlawanan untuk membolosi gawang lawan esok serta perlu bijak menggunakan sebaik mungkin peluang yang dicipta untuk menjaringkan gol.

“Selain menyerang, barisan pertahanan perlu memberi tumpuan dan tidak leka dengan gerakan serangan balas pasukan lawan dan tidak seharusanya memandang rendah kemampuan Melaka FC walaupun perbezaan kedudukan dalam carta Liga Super,” katanya. - BERNAMA

ZAZALI JAMIAN