KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Etika Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA) berkuat kuasa, hari ini.
Dalam satu kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan pelantikan berprestij itu diperkenan oleh Presiden ISSA, Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal, yang juga Menteri Sukan Arab Saudi serta Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi.
ISSA ialah badan sukan antarabangsa di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ditubuhkan pada tahun 1985 bagi memupuk perpaduan dan kerjasama antara negara Islam melalui sukan.
Sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara, Tan Sri Norza diberi kepercayaan mengetuai Suruhanjaya Etika yang baharu ditubuhkan, sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman luas serta komitmen beliau terhadap tadbir urus dan etika sukan.
Suruhanjaya itu akan bertanggungjawab memastikan tahap integriti dan kelestarian Pergerakan Sukan Islam, khususnya temasya Sukan Perpaduan Islam, yang kini disertai 57 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan anggota ISSA.
Dua tokoh turut dilantik menganggotai suruhanjaya berkenaan iaitu Dr. Boubakari Maiga, Ketua Jabatan Belia dan Sukan OIC, serta TYT Shaikha Dr. Hussa Bint Khalid Al-Khalifa, Ahli Lembaga Pengarah Jawatankuasa Olimpik Bahrain.