SUNGAI LONG, 23 Oktober - Menjelang perlumbaan Petronas Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2025, dua pelumba wildcard negara dalam kategori Moto2, Md Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar, optimis untuk memberikan saingan sengit hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Bagi Helmi, penyertaan kali ini menjadi medan penting untuk memperbaiki pencapaian terdahulu serta membuktikan kemampuannya.
Ini juga adalah kali ketiga Helmi beraksi sebagai pelumba wildcard Moto2, selepas 2023 dan 2024.
"Setiap tahun saya lihat ada perkembangan positif. Kalau dulu beza masa saya dengan pelumba di kelompok depan sekitar 4.5 saat, tapi tahun lepas hanya tinggal 2.5 saat. Jadi kali ini saya mahu terus perbaiki catatan itu dan cuba bersaing di kelompok hadapan, bukan sekadar mengelak daripada menamatkan saingan di kedudukan terakhir" Katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Honda Thanks Day 2025 yang berlangsung di Sungai Long, semalam.
Helmi dan Azroy Hakeem akan menggalas cabaran negara bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda, dalam saingan hujung minggu ini.
Sementara itu, Azroy Hakeem pula akui persiapan mereka agak singkat, namun tetap berazam untuk mempamerkan prestasi terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan.
"Untuk tahun ini, persiapan kami agak cepat dan boleh dikatakan saat akhir, tapi sebagai pelumba, saya akan berikan seratus peratus. Harapan saya, perlumbaan kali ini lebih baik daripada sebelumnya," Jelasnya.
Selain Helmi dan Azroy Hakeem, seorang lagi pelumba negara yang akan beraksi menerusi tiket wildcard ialah Hakim Danish Ramli dalam kategori Moto3.