FRANKFURT, 23 Oktober - Keyakinan pengendali Liverpool, Arne Slot untuk meneruskan cabaran musim ini semakin baik terutama selepas mendapat suntikan semangat hasil kemenangan bergaya awal pagi tadi.
The Reds menang 5-1 menewaskan Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Juara Eropah awal pagi tadi sekali gus melegakan Slot yang telah menyaksikan pasukannya tewas empat kali berturut-turut buat kali pertama sejak November 2014.
Menurut Slot, keupayaan pasukan mencipta peluang menerusi 'set pieces' menjadi kunci kemenangan Liverpool dalam aksi menentang Eintracht Frankfurt.
"Kami mendahului 3-1 dan apabila berada di hadapan lebih mudah untuk mengawal permainan berbanding apabila ketinggalan 1-0 sepanjang masa.
"Saya sudah beberapa kali menyatakan betapa pentingnya set piece, serta betapa pentingnya keseimbangan dalam situasi tersebut. Kami berjaya menjaringkan dua gol melalui set piece sekali gus membolehkan kami mendahului 3-1 pada separuh masa pertama," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Terdahulu, dalam saingan tersebut menyaksikan tuan rumah bermula garang dengan jaringan Rasmus Kristensen pada minit ke-26, namun Liverpool bangkit menerusi lima gol.
Hugo Ekitike menyamakan kedudukan pada minit ke-35, sebelum ketua pasukan Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate masing-masing menjaringkan gol.
Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan bergaya Liverpool.
Kejayaan itu juga menjadi tonik penting buat juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu selepas melalui prestasi hambar sejak awal musim. - REUTERS