fb fb fb fb fb

Kelantan bakal ada sebuah kompleks sukan Muay Thai

KOTA BHARU, 21 Mei - Sebuah kompleks sukan Muay Thai akan dibina di Kelantan membabitkan kerjasama strategik antara pihak swasta dan kerajaan negeri.

Kompleks sukan yang dijangka menelan belanja antara lapan hingga RM10 juta itu melibatkan pembinaan beberapa kompenan utama seperti mini stadium dan pusat latihan selain gerai - gerai jualan barangan sukan terbabit.

Beberapa lokasi sekitar jajahan Machang, Tumpat dan Kota Bharu telah dikenal pasti bagi tujuan pembinaan di atas tapak seluas lima hingga 10 ekar.

Menurut Ketua Pegarai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood pihaknya telah mendapat maklum balas yang positif daripada kerajaan negeri malah lokasi tersebut turut akan dimanfaatkan sebagai hab industri pelancongan sukan di negeri Kelantan.

Mengulas lanjut, Mohd. Faizuddin berkata usaha yang dibuat merupakan perancangan jangka panjang selari dengan hasrat pihaknya untuk melahirkan seribu petinju berkelas dunia dari negeri itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Cabutan Bertuah Pertandingan Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022 di Kota Bharu.

Pertandingan di sertai 14 orang petinju Muay Thai termasuk dari luar negara seperti Brazil, Thailand dan Kemboja itu julung kali diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu malam tadi.

Lebih 10,000 peminat sukan berkenaan dari seluruh negara hadir menyaksikan pertarungan dan ia akan dijadikan penanda aras kepada penganjuran acara sukan Muay Thai berskala besar di negara ini pada masa akan datang.


(Mohd Faizuddin Che Mahmood menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Cabutan Bertuah Pertandingan Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022)

Media Baharu