SEPANG, 13 Ogos - Jualan tiket Kejuaraan Dunia MotoGP Malaysia yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober belum mencecah 50 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata kemungkinan penjualan tiket bermula April lalu sedikit perlahan disebabkan ketiadaan pelumba Malaysia dalam penganjuran edisi kali ini.
Selain itu, katanya faktor sebanyak 25 peratus cukai hiburan dikenakan Kerajaan Negeri Selangor turut mempengaruhi harga tiket yang meningkat sekali ganda.
"Meskipun jualan tiket mempamerkan trend peningkatan daripada peminat sukan permotoran tanah air sejak tiga minggu lepas, jualan tiket masih belum mencapai 50 peratus," katanya.
Sehubungan itu, Azhan Shafriman berkata pihak SIC sedang membuat perbincangan dengan pihak kerajaan negeri bagi membuat pengurangan cukai hiburan berkenaan dalam usaha melonjakkan jumlah penjualan tiket.
Jualan tiket tahun ini bermula dengan harga serendah RM90 hingga lebih RM500.
Azhan Shafriman pada masa sama optimis perlumbaan di SIC itu tetap akan berlangsung meriah selepas dua tahun penganjuran di negara ini dibatalkan ekoran wabak COVID-19.