fb fb fb fb fb

Kejohanan MAKSAK Sepak Takraw, Orienteering labuh tirainya di Perlis

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul Johan dalam acara sepak takraw membawa wang tunai RM1,200 beserta piala dan medal

KANGAR, 29 Oktober - Kejohanan sukan bagi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2023 bagi Sepak Takraw dan Orienteering melabuhkan tirainya.

Berlangsung selama empat hari sekitar Kangar dan Kuala Perlis, kejohanan kali ini melibatkan 16 kontinjen MAKSAK seluruh negara dengan 500 peserta.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Yang Dipertua MAKSAK Perlis, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata, kejohanan ini berjaya membuktikan bahawa sukan bukan sekadar aktiviti sihat.

Tambahnya, kejohanan itu juga bagi mengeratkan perpaduan, kemahiran berkomunikasi malah memupuk erti ketekunan dan kecekalan.

"Sekiranya semangat berpasukan ini dapat dihayati dan diterapkan dalam perkhidmatan awam, nescaya setiap cabaran yang kita hadapi dapat diselesaikan dengan lebih cekap dan berkesan.

"Semangat kental itu sentiasa tertanam pada setiap anggota perkhidmatan awam, bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti setiap anggota tetapi lebih penting dapat membangunkan sebuah perkhidmatan awam yang mantap dan dihormati oleh masyarakat," katanya pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2023 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Bagi acara sepak takraw, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul Johan membawa wang tunai RM1,200 beserta piala dan medal, diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Naib Johan dengan hadiah wang tunai RM1,000 piala serta medal, manakala tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh pasukan Terengganu dan Selangor yang membawa wang tunai RM800 piala dan medal.

Sementara itu, bagi sukan Orienteering, tuan rumah Perlis muncul sebagai Johan membawa wang tunai RM1,200 beserta piala dan medal, manakala Perak dan Selangor sebagai Naib Johan dan pemenang tempat ketiga.

GRACE AISYAH KEDAYAN