fb fb fb fb fb

Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON 2024 tarik penyertaan antarabangsa

Datuk Raffiq Md Ariff dan Takuya Ono bersama penaja-penaja Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON 2024

SHAH ALAM, 29 Januari- Seramai 90 pemain muda bakal menyertai Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON 2024.

Kejohanan dijadualkan bermula 29 Julai hingga 1 Ogos 2024 di Kota Permai Golf & Country Club.

Menjadikan ia lebih menarik, kejohanan bakal menyediakan platform antarabangsa yang kompetitif buat pemain negara untuk menunjukkan prestasi mereka bersaing dengan bakat muda dari rantau Asia Pasifik.

Kejohanan 54 lubang, mengikut kiraan World Amateur Golf Ranking (WAGR) bakal disertai pemain dari Brunei Darussalam, Kemboja, Hong Kong, China, India.

Sebagai tambahan kepada kejohanan utama (Divisyen A) untuk remaja lelaki dan perempuan antara 14 hingga 17 tahun, kategori pembangunan (Divisyen B) juga akan dipertandingkan buat lelaki dan perempuan antara umur 11 dan 13 tahun.

Pemain golf remaja tempatan boleh melayakkan diri ke Kejohanan Remaja 100PLUS SRIXON menerusi dua siri kelayakan iaitu di Siri Kelayakan Semenanjung Malaysia di Templer Park Country Club di Rawang, Selangor dari 6 hingga 9 Mei manakala Siri Kelayakan Sabah dan Sarawak di Miri Golf Club, Sarawak dari 10 hingga 13 Jun ini.

"Meneruskan sokongan selama dua dekad kami untuk pembangunan golf di Malaysia, 100PLUS SRIXON Kejohanan Junior akan menjadi platform untuk pemain golf remaja terbaik kami menguji keberanian mereka menentang yang pemain terbaik di rantau ini,"kata Pengarah Pengurusan Fraser&Neave Holdings Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff.

Jelasnya lagi, pemain profesional sensasi negara seperti Gavin Green dan Kelly Tan adalah contoh terbaik yang lain telah mendapat manfaat daripada bermain dalam acara tersebut.

"Kami gembira untuk terlibat dalam golf junior sekali lagi dan tidak sabar untuk melihat pemain-pemain muda ini beraksi,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dunlop Srixon Sports Asia, Takuya Ono berkata peluang untuk bersaing dengan pemain golf remaja terbaik dari negara luar diharap dapat dimanfaatkan pemain Malaysia dalam meningkatkan permainan mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE