fb fb fb fb fb

Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha 2.0, satukan penduduk Kota SAS

Peserta Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha 2.0/Foto RTM

KUANTAN, 28 Julai - 10 pasukan bersaing dalam Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha 2.0 merebut hadiah keseluruhan bernilai RM5,000 yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Pahang, di sini.

Turut beraksi pada kejohanan tersebut anakanda Sultan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja, Tengku Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah mewakili pasukan P4 Lakers Z.

Tuanku berpasangan dengan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Dato’ Indera Mohamed Moiz.

Kejohanan tersebut merupakan edisi kedua selepas edisi pertama berlangsung pada tahun 2023.

Juara kejohanan dirangkul pasukan Azalea yang menewaskan pasukan EVG One dengan keputusan 3 - 1, dengan empat ketiga dimenangi pasukan SV Stinger dan P3Rimrose.

Tengku Puteri Raja Tengku Ilisha Ameera berharap, acara tersebut dapat mengeratkan ukhuwah antara komuniti.

“Saya amat berbangga melihat semangat juang dan ukhuwah antara komuniti.

“Kejohanan ini bukan sekadar tentang sukan, tetapi platform menyatukan warga Kota SAS dengan nilai perpaduan, semangat berpasukan dan sihat bersama.

“Saya doakan kejohanan ini terus menjadi acara dwitahunan yang sentiasa dinanti-nantikan penduduk Kota SAS,” katanya.

Hadiah kepada pemenang dan atlet disampaikan Pengerusi Springvale Residences Kota SAS, Izudin Muhamad Amin dan Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Mahadir Abdul Rafar.

ASHRIQ FAHMY AHMAD