SINGAPURA, 28 Julai – Para pemain Newcastle United adalah profesional dan tidak akan membiarkan spekulasi perpindahan melibatkan penyerang Alexander Isak mengganggu fokus mereka menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris, kata pengurus Eddie Howe.
Isak, yang menjaringkan 23 gol liga musim lalu iaitu kedua terbanyak selepas pemenang Kasut Emas dari Liverpool, Mohamed Salah (29) tidak menyertai skuad Newcastle untuk jelajah pramusim di Asia.
Penyerang berusia 25 tahun itu, yang telah mewakili Sweden sebanyak 52 kali, menyertai Newcastle dari Real Sociedad pada 2022 dan telah meledak 62 gol dalam 109 penampilan di semua kejohanan.
Selepas kekalahan 3-2 Newcastle kepada Arsenal di Singapura pada Ahad, Howe memberitahu pemberita bahawa jelajah ini berjalan seperti biasa bagi para pemain.
“Anda tidak mempunyai masa dalam jelajah seperti ini untuk memikirkan perkara lain selain latihan dan perlawanan seterusnya.
"Tahap persaingan sangat tinggi sehingga kami perlu benar-benar bersedia untuk setiap perlawanan,” katanya.
“Kami perlu cuba beraksi di tahap terbaik. Jadi, secara semula jadi, kami akan merasai ketiadaan pemain berkualiti seperti Alex. Itu tidak dapat dinafikan", jelasnya.
“Dan saya tidak boleh duduk di sini dan mendakwa pemain tidak merasainya. Tetapi mereka adalah sekumpulan pemain yang sangat profesional, dan setakat yang saya lihat, mereka menguruskan situasi ini dengan sangat baik", tambahnya.
Newcastle, yang layak ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan di tempat kelima Liga Perdana musim lalu, akan menentang Pilihan K-League di Korea Selatan pada Rabu. - REUTERS