TORONTO, 28 Julai - Gael Monfils mengumumkan penampilannya dalam kejohanan ATP Masters Toronto pada Ahad adalah yang terakhir.
Pengumuman mengejut itu dibuat selepas pemain tenis berusia 38 tahun itu tersingkir seawal pusingan pertama.
Ikon tenis Perancis itu terlepas empat mata perlawanan sebelum tewas 4-6, 6-4, 6-7 (3/7) kepada pemain ranking ke-142, Tomas Barrios Vera yang merekodkan kemenangan Masters pertama dalam kerjayanya, sekali gus menamatkan rentetan tujuh kekalahan berturut-turut di peringkat ATP.
Monfils secara simbolik menyentuh garisan dasar gelanggang ketika berjalan keluar selepas hampir tiga jam beraksi dalam suhu musim panas yang mencecah 35 darjah Celsius.
"Tiada penjelasan, ini yang terakhir. Ia akan mengambil masa dua tahun lagi untuk bermain (semula) di Toronto, jadi saya rasa saya tidak akan dapat bermain lagi. Sudah tentu saya rasa untuk edisi seterusnya saya sudah terlalu tua, jadi saya rasa ini kali terakhir saya bermain di sini," katanya.
Monfils tidak banyak memberi komen positif mengenai persembahannya.
"Tanpa menafikan usaha lawan saya, (ia adalah) perlawanan yang buruk daripada pihak saya, bukan kualiti yang saya inginkan, bukan tahap permainan yang saya mahu tunjukkan," katanya.
Dia turut mengakui perlu bekerja keras untuk mendapatkan kembali rentak kemenangan.
“Kekalkan semangat, walaupun ia tidak mudah, tetapi saya akan cuba yang terbaik," tambah Monfils. -AFP