PARIS, 25 Ogos - Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memulakan kempen Kejohanan Badminton Dunia 2025 dengan langkah kiri apabila tersingkir seawal pusingan pertama dalam kejohanan yang berlangsung di Arena Adidas, di sini, hari ini.
Zii Jia, yang kini menghuni ranking ke-52 dunia, gagal menyaingi pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin yang berada di ranking ke-38 dunia, apabila tewas dalam dua set dengan keputusan 17-21, 11-21.
Walaupun cuba memberikan tentangan pada awal permainan, Zii Jia dilihat gagal mengekalkan momentum, sekali gus menyaksikan beliau tersingkir dalam tempoh 41 minit perlawanan.
Kejohanan ini merupakan penampilan sulung pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu selepas berehat panjang selama lima bulan, dengan aksi terakhirnya direkodkan ketika menyertai Orleans Masters dan All England pada Mac lalu.
Kekalahan ini sekali gus menyaksikan impian Zii Jia untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan dunia tahun ini terkubur awal.